Isnin, 11 April 2016

Perniagaan pembuatan Kicap Tamin ( Bermula tahun 1951. Tuan Haji Mohd Tamin )


   





               



           



Cerita mengenai Kicap TAMIN bermula pada tahun 1951 apabila Tuan Haji Mohd. Tamin berjaya menemui ramuan untuk menghasilkannya. Ia bermula sebagai produksi kecil-kecilan di Batu Gajah, Perak. Tuan Haji Mohd. Tamin memulakan perniagaan beliau dengan hanya bermodalkan RM10 tetapi semangat dan azam yang tinggi berjaya menghasilkan kira-kira 700 botol kicap sehari dengan bantuan ahli-ahli keluarga beliau. Walaupun dengan kapasiti pengeluaran yang kecil, kebersihan, kualiti dan rasa sos tidak diabaikan. Proses pemilihan dan campuran ramuan seperti kacang soya, tepung gandum dan sebagainya dilakukan dengan teliti untuk memastikan kualiti kicap yang terjamin.

Setelah setahun, permintaan terhadap Kicap TAMIN melebihi jangkaan. Kicap ini mula dikenali di kalangan suri rumahtangga dan komuniti sekitar kampung. Golongan muda dari kampung yang berhijrah ke kawasan bandar membawa bersama Kicap TAMIN dan secara tidak langsung mereka inilah yang memperkenalkan kicap yang enak dan menyelerakan ini kepada penduduk di bandar. Demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Tuan Haji Mohd. Tamin mengambil langkah meningkatkan pengeluaran 3,500 botol sehari.  Peningkatan kehendak dan kepopularan Kicap TAMIN telah mendorong Tuan Haji Mohd. Tamin untuk mengembangkan perniagaan beliau dengan mendirikan sebuah kilang di Enggor, tidak jauh dari Bandar Diraja negeri Perak - Kuala Kangsar. Semakin banyak pekerja diambil untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 9,000 botol sehari. Hari ini, Kicap TAMIN boleh didapati di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kini, nama TAMIN dikenali ramai dengan sos dan kicap yang bermutu tinggi. Reputasi ini dibina selama kini oleh allahyarham Tuan Haji Tamin. Usaha beliau diteruskan oleh keluarganya di kedua-dua kilang yang menggunakan teknologi semasa dan mesin-mesin moden di Perak Darul Ridzuan. Terdapat dua kilang yang mengeluarkan produk Tamin ketika ini iaitu di Enggor, Kuala Kangsar serta di Batu Gajah, Perak. Walaupun produksi kian bertambah, rasa asli Kicap TAMIN tetap sama seperti yang dirasa pada tahun 1951. Komitmen terhadap kualiti ternyata sehingga TAMIN dapat mengembangkan pasaran di United Kingdom.

Antara Pengeluaran Produk Syarikat Tamin:

Terdapat 28 produk yang dihasilkan oleh Syarikat  Tamin.

1.       Kicap Istimewa
2.       Kicap Putra
3.       Kicap Putri
4.       Kicap Mee
5.       Kicap Lemak Manis
6.       Kicap Lemak Masin
7.       Kicap Perdana
8.       Kicap Cair Tamin
9.       Kicap Soya Istimewa
10.   Sos Tiram
11.   Cuka Buatan
12.   Cuka Buatan - Cap Tamin
13.   Sos Cili
14.   Sos Tomato
15.   Asam Jawa
16.   Tepung Jagung
17.   Tepung Ubi Kayu
18.   Garam Halus
19.   Kerisik Kelapa
20.   Ceriping Pedas
21.   Bihun Perdana
22.   Vermicelli
23.   Tepung Kentucky
24.   Sop Tulang
25.   Taucu - Kacang Masin
26.   Taucu - Cap Tamin
27.   Perisa Rose
28.   Cencaluk


Sumber:



Perniagaan Bidang Servis Keselamatan (Puan Maznah Hamid Syarikat Keselamatan Securiforce)



KELUARGA Maznah. (Dari kiri): Mohamad Shafiq, 20, Nurul Shameem, 24, Mazreen Shanim, 17, Datuk Shaheen, Maznah, Mohamad Nabeel, 3, Nor Sharmila, 29, dan suami, Mohamad Nizar, 31, dan Shahril Reza, 28.





( Selain Mengepalai syarikat keselamatan, Maznah juga terlibat dalam bidang hartanah dan pembangunan sumber manusia )

MENJALANKAN perniagaan kawalan keselamatan menuntut keberanian yang luar biasa. Kata Pengarah Eksekutif, Kumpulan Securiforce Sdn. Bhd. (Securiforce), Datuk Maznah Hamid, tanpa keberanian itu, impian akan tinggal impian.

“Kerana peranan kami sudah seperti polis. Kami terpaksa berdepan dengan kumpulan samseng, penagih dadah dan penjenayah yang sentiasa mencabar keselamatan pelanggan kami. Maka kami terpaksalah bijak mengatur strategi untuk membanteras aktiviti mereka. Adakala kena pergi minum, makan atau berkawan dengan mereka untuk mengetahui muslihat kumpulan itu supaya keselamatan kami tidak tergugat,” katanya yang menyedari wujud lebih 30 geng samseng di seluruh negara.

Maznah merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan. Antara lain, Securiforce menyediakan perkhidmatan van sekuriti dan kawalan bangunan.

“Menjadi kelebihan pula menjadi seorang wanita dalam bidang ini. Agaknya, kalau lelaki berada di tempat saya mungkin sudah kena pukul,” ujar Maznah berderai tawa.
Satu lagi faktor yang menyokong perkembangan Securiforce ialah keupayaan anggotanya untuk memprogramkan diri sejak mula bekerja.

“Masalah utama orang kita ialah disiplin. Perniagaan seperti ini beroperasi 24 jam sehari. Kesanggupan untuk mengorbankan waktu tidur memerlukan disiplin yang tinggi,” ujar Maznah yang berpendapat kejayaan tidak sepatutnya diperoleh secara ekspres atau dalam sekelip mata.

Setelah beroperasi selama hampir 29 tahun, Securiforce kini bangga dapat menyaingi lebih 400 syarikat seumpamanya di negara ini.

“Orang mungkin lihat kami sudah berjaya dan kaya raya. Tetapi bagi kami, pencarian belum berakhir,” ujar anak kelahiran Jerlun, Kedah, ini.






Impikan waktu 36 jam sehari

Maznah mengakui, beliau dan suami suka mempelajari sesuatu yang baru. Beliau turut mengesyorkan supaya bakal usahawan mengambil satu atau dua kursus kemahiran sebagai modal perniagaan.

“Latihan secara praktikal dan pengalaman bekerja lebih penting berbanding segulung ijazah,” jelas beliau yang sering mengimpikan alangkah baiknya jika terdapat 36 jam dalam sehari berbanding 24 jam sahaja. Selain mengepalai syarikat keselamatan, Maznah juga terlibat dalam bidang hartanah dan pembangunan sumber manusia. Seorang yang begitu menghargai pengalaman, Maznah akan memastikan anak-anaknya yang berminat untuk bekerja dengan Securiforce memulakan kerjaya di peringkat paling bawah.

“Biar mereka tahu bagaimana seorang jaga bekerja atau memandu van sekuriti supaya mereka faham selok-belok perniagaan ini,” kongsi Maznah.
Untuk berjaya dalam sesebuah perniagaan, Maznah menyarankan dua subjek perlu diberi perhatian iaitu perakaunan dan perniagaan.

“Lima anak saya semuanya menunjukkan minat untuk menjadi usahawan. Saya galakkan mereka mengambil kedua-dua jurusan sebagai pengetahuan asas. Seperti suami saya yang memiliki kelulusan dalam bidang perakaunan, kami kemudiannya memperkayakan diri dengan strategi perniagaan pula,” katanya. Melalui ilmu jugalah Maznah terselamat daripada mengalami kerugian yang mampu meruntuhkan perniagaannya.

“Nasihat saya, kalau tidak mahu ditimpa ‘bala’ jangan memulakan perniagaan dengan berhutang. Gunakan wang sendiri. Juga jangan mulakan dengan jumlah modal yang terlalu besar.” Sikap berhati-hati menjadi satu lagi kelebihan Maznah dan suami, Datuk Shaheen Mirza Habib, 58. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak pernah berdepan dengan waktu sukar.

“Pada peringkat permulaan perniagaan, kami belajar erti kesilapan pelaburan yang amat merugikan. Ia berikutan kami tersalah memilih produk. Penggunaan Sistem Penyeliaan Pusat (CMS) yang kami perhatikan di negara Barat rupa-rupanya terlalu jauh ke depan berbanding status negara pada waktu itu. Kami terlupa negara masih kekurangan bangunan pencakar langit pada sekitar 1980-an. Ini bermakna permintaan untuknya terlalu kecil. Tetapi syukur, kami tidak dibebani hutang, membolehkan kami bangun semula tanpa banyak masalah,” cerita Maznah.

Menjadi satu kebanggaan baginya apabila kami dapat menjalankan perniagaan menggunakan modal sendiri. Bermula dengan modal RM5,000, sekarang Securiforce sudah memiliki 60 cawangan di seluruh negara dan beberapa di luar negara, mampu menggaji hampir 5,000 pekerja. Ia juga mereka cipta serta menghasilkan van kalis pelurunya sendiri.





Perniagaan Bidang Tender Percetakan ( Puan Aisyah Hamdan Berniaga Bermula Dengan hanya RM 700 dan kini Menjadi Perniagaan yg Berjaya )

Siti Aishah Hamdan sentiasa memastikan kualiti cetakan yang 
dihasilkan memenuhi permintaan pelanggan dan dihasilkan dalam masa yang dijanjikan.
- Bermula dengan penubuhan Syarikat Bendigo Enterprise  & Menjadi Suatu perniagaan yg Memberangsangkan dan Kini  Syarikat Menjadi Lactop Sdn Bhd



BERPEGANG kepada prinsip kerja 'pelanggan selalu betul dan setiap tempahan harus disiapkan mengikut perjanjian', usahawan percetakan ini terus menempa kejayaan sejak menceburi perniagaan tersebut 15 tahun lepas.

Bagi Siti Aishah Hamdan, 36, kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan tidak harus dipandang sambil lewa, sebaliknya berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Jadi, tidak hairanlah apabila syarikatnya mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar untuk mendapatkan khidmat percetakan sama ada mencetak banting, sepanduk, kad jemputan, buletin, beg kertas, pembungkusan dan buku.

Mengembali semula nostalgia bagaimana beliau yang bertindak sebagai Pengarah Lactop Sdn. Bhd. dan suami, Mohd. Sham Mohd. Salleh, 39, bertungkus lumus memajukan syarikat yang kini menjadi kebanggaan dan punca rezeki mereka, sememangnya amat meruntun jiwa. Kata Siti Aishah, beliau dan suami pernah hidup susah dan masing-masing bekerja di sebuah kilang percetakan dengan pendapatan bersama hanya RM1,000 sebulan. Bahkan, suaminya pernah terpaksa tidur di lokap kerana terbeli motosikal curi bagi memudahkan mereka berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Lebih mengharukan lagi apabila beliau dan suami diberhentikan kerja oleh majikan ketika tinggal beberapa hari lagi umat Islam mahu menyambut Aidilfitri

"Wang simpanan yang ada ketika itu cuma RM700. Dengan wang itu jugalah saya dan suami sepakat menggunakan pengalaman yang ada terutama dalam berurusan dengan pembekal percetakan, memulakan perniagaan percetakan walaupun dalam skala yang kecil. Satu cara sahaja yang difikirkan untuk meneruskan hasrat itu, iaitu dengan menghubungi pembekal percetakan yang kenal rapat dengan saya semasa bekerja dahulu, meminta bantuan dengan memberi kredit,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Sri Damansara, Selangor, baru-baru ini. Menurut Siti Aishah, pelanggan pertamanya ialah syarikat penerbitan filem yang baru ditubuhkan

"Dengan muka yang tebal, walaupun saya tahu kemampuan dari segi peralatan dan modal tidak ada, saya memberanikan diri berjumpa dengan mereka. Mungkin nasib menyebelahi saya, kebetulan mereka juga mencari syarikat yang boleh mencetak produk-produk bagi mempromosikan filem terbitan mereka. Alhamdulillah mereka memberi kepercayaan penuh untuk kami menyiapkan poster dan banting dalam tempoh yang ditetapkan. Dan saya bersyukur, dengan terlaksananya projek pertama itu, mereka menjadi pelanggan tetap kami sehingga ke hari ini,'' kata ibu kepada seorang anak lelaki berusia tujuh tahun.

Beliau yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu menambah, dengan komitmen yang diberi kepada syarikat yang ditubuhkan pada 1996 dengan nama Bendigo Enterprise sebelum ditukar nama kepada Lactop Sdn. Bhd. pada tahun 1999, beliau mendapat kepercayaan daripada banyak syarikat lain. "Rezeki semakin mencurah setelah tahun 1999. Saya mula mendapat projek daripada kerajaan, hotel dan sektor swasta yang lain. Kerja-kerja juga telah bertambah, bukan sahaja sekadar poster dan banting, tetapi telah mendapat kontrak mencetak pembungkusan, beg kertas, buku dan buletin," katanya. Siti Aishah juga mengakui sudah tujuh tahun, beliau dan suami tidak melakukan kerja-kerja pemasaran kerana pelanggan yang membantu memasarkan produk mereka.

Wanita yang gemar menghias rumah ini menegaskan dalam berurusan dengan pelanggan, memberi keyakinan adalah elemen yang penting. "Dalam mendapatkan projek daripada pelanggan baru, saya memastikan tidak terlalu tamak menerima kerja-kerja yang diarahkan kerana saya ingin membina keyakinan dengan mereka dahulu. Saya selalu nyatakan kepada mereka supaya mencuba dulu perkhidmatan saya dalam skala kecil, jika puas hati dengan hasil yang dibuat, barulah menjalinkan kerjasama dengan skala yang besar. Ini kerana saya percaya kepada rezeki, jika pelanggan yakin dan puas hati dengan kerja kita, rezeki itu akan datang dengan sendirinya,''katanya.



Perniagaan Peternakan Lembu ( Jutawan Felda Tuan Amarullah Keuntungan RM1 Juta)

Empayar Perniagaan Peternakan & Rumah Kediaman
Banglo RM1 Juta Milik Beliau


RAUT wajahnya yang tegas dan tampak sombong membuatkan kami berfikir dua kali untuk menemuramah individu digelar 'Jutawan Felda' oleh majoriti masyarakat Felda Umas di Tawau, Sabah, ini. Namun, sebaik beliau mula berbicara, hilang segala prasangka awal yang bermain di fikiran. Personaliti pilihan sisipan Inspirasi minggu ini, Amarullah Sudin, 53, penuh sifat dedikasi serta merendah diri yang amat disenangi oleh masyarakat Felda Umas. Biarpun mendiami banglo yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta serta dilimpahi nikmat hasil perahan keringat, Amarullah tidak pernah bersikap ‘hidung tinggi’.

Menyimpul kejayaan diraihnya selama ini sebagai petani moden, ternyata isteri tercinta, Muniati Asnawir, 45, menjadi tulang belakang kepada kejayaannya dalam bidang pertanian, penternakan dan pembinaan. Berkongsi cerita, Amarullah, Muniati bagi dirinya adalah perancang kewangan dan ekonomi terbaik untuk keluarga hingga membolehkan beliau berjaya sejak mula menjadi peneroka pada 1990. Isterinya menguruskan segala hal kewangan serta menggalakkan mereka berjimat-cermat dengan membeli mengikut keperluan bukan keinginan. Besar pengaruh isterinya hingga Amarullah terkenang insiden kehilangan lima ekor lembu ketika mula berjinak-jinak menjadi penternak pada 2000. Kejadian itu menimbulkan kemarahan Muniati lalu mendorong Amarullah berusaha mengganti semula lembu yang hilang.

“Jika diingatkan memang ia satu peristiwa sedih. Namun, menjadi lucu kerana saya terpaksa berbohong dengan isteri dan memberitahu lembu yang hilang sudah ditemui semula. Sedangkan, saya terpaksa membeli lima ekor lembu baru untuk menggantikan yang hilang itu. Namun, saya tidak pernah menyalahkan isteri atas kemarahannya itu kerana isteri risau saya tidak ada pengetahuan dalam bidang penternakan.

Selepas peristiwa itu, saya terus mengikuti kursus penternakan lembu di Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH). Saya mula bertatih dan sekarang, bilangan lembu yang diternak mencapai 500 ekor. Saya juga ada 170 ekor kerbau yang dipasarkan di Sarawak termasuk Indonesia,” katanya ketika ditemui di kediamannya sempena Karnival Iktiraf Media anjuran Felda, baru-baru ini. Amarullah berkata, keikhlasan ketika melaksanakan tanggungjawab serta disiplin yang tinggi amat penting untuk mencapai kejayaan malah menjadi pegangannya selama ini.

“Rutin harian saya bermula awal pagi untuk memastikan lembu saya berada di kawasan ladang bagi meragut rumput. Ini kerana saya sudah mengikat kontrak dengan pihak Felda untuk menjalankan kerja pembersihan kawasan menggunakan haiwan ternakan saya mengikut blok yang ditetapkan.

Saya tidak menetapkan tempoh masa bekerja kerana ada kalanya masalah datang secara mengejut seperti lembu hilang pada waktu tengah malam. Ketegasan memang ada, bahkan anak kedua saya, Mohamad Iswan yang membantu saya turut dilayan seperti pekerja lain untuk memberikan pengalaman dan pendedahan kepada beliau,” 
katanya.

Menjengah kediaman mewah bernilai lebih RM1 juta milik Amarullah, hati kagum memikirkan betapa gigihnya bapa kepada sembilan anak ini mengubah taraf hidup. Kesusahan yang pernah dirasai sebelum ini tidak pernah menjadi halangan untuk dirinya mencipta kejayaan. Usaha dan semangat juang yang kental dalam diri Amarullah dan anggota keluarga yang tidak pernah berputus asa memajukan diri, menjadi kunci kepada kejayaan seisi keluarga.

Tambah menarik, kediaman keluarga Amarullah dibina sendiri melalui rekaan yang diilhamkan anak sulungnya, Abdul Ghafar, 26, yang kini bertugas sebagai jurutera di Lembaga Letrik Sabah. Jika berkunjung ke Felda Umas, kisah kejayaan hidup Amarullah tidak pernah lekang meniti di bibir penduduk kampung. Kediamannya yang tersergam menjadi lambang kebanggaan dan bukti bahawa peneroka dan petani juga mampu hidup mewah.

“Saya berpegang kepada prinsip mengekalkan apa yang ada serta tidak meninggikan diri. Ini kerana di tanah rancangan ini, semuanya umpama satu keluarga. Saya bermula dengan susah apabila menerima gaji sebanyak RM220 sebulan, namun bersyukur apabila pendapatan kian meningkat.

Semua ini atas dorongan kuat serta semangat isteri yang tidak pernah berbelah-bahagi menyokong apa yang saya lakukan. Setiap perolehan hasil yang saya dapat akan saya serahkan 100 peratus kepada isteri saya untuk diurus dan diagihkan mengikut kepentingan,” 
jelasnya.

Muniati pula menegaskan, kelebihan dan kesenangan yang dimiliki mereka berpunca sikap saling mempercayai serta memekakkan telinga atas tohmahan orang lain. Beliau yakin suaminya itu selalu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan taraf hidup.

“Saya tidak pernah peduli dengan apa orang kata termasuk digelar ‘queen control’. Ini kerana apa yang lebih penting ialah masa depan kami terutama anak yang makin membesar. Saya juga hanya membeli barangan perlu saja kerana tidak mahu membazir dengan benda yang tidak sepatutnya dimiliki.

Mungkin bagi sesetengah orang menganggap saya kolot dan kedekut hanya tidak memiliki barangan jenama. Tetapi, saya tahu apa yang saya inginkan dalam kehidupan. Titik peluh suami yang bersusah payah mencari rezeki harus difikirkan bukannya berbelanja secara melulu kerana saya fikir mengenai masalah mendatang jika wang tidak diurus dengan baik,” 
katanya.

Atas usaha dan kegigihan dirinya, Amarullah dinobat sebagai penerima Anugerah Usahawan Tani Felda 2010 Peringkat Kebangsaan yang melayakkan beliau menggondol wang tunai RM16,000 serta menjadi idola masyarakat.

“Saya yakin generasi kedua Felda juga mampu mencapai kejayaan sekiranya mereka yakin pada diri sendiri dan tidak mudah berputus asa. Semua orang mampu memiliki apa yang mereka impikan jika berusaha mencapainya dengan bersungguh-sungguh serta jujur dalam pekerjaan yang dilakukan. Bagi saya, kejayaan ini adalah dorongan keluarga, masyarakat Felda Umas serta pengurusan Felda yang tidak jemu membantu peneroka untuk menaikkan taraf kehidupan kami melalui pelbagai intensif,” katanya.

Sambung legasi ayah>

RIAK tenang anak muda berusia 24 tahun ini menggamit hati penulis untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Ini kerana sikap gigih membantu bapa tersayang di ladang ternakan dan tapak projek pembinaan tanpa rasa jemu atau berputus asa. Mohd Iswan Amarullah pernah menolak tawaran menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) demi menyambung kelangsungan usaha bapa tersayang memajukan lagi Felda Umas selain perusahaan penternakan dan projek pembinaan mereka. Anak kedua daripada sembilan beradik ini berkata, pada awalnya memang sukar untuk membuat keputusan memilih antara kerjaya di Felda atau meneruskan pengajian. Namun, akhirnya beliau membuat keputusan untuk terus memberi sokongan dan membantu bapanya.

“Ternyata keputusan ini adalah yang paling tepat buat diri saya. Ini kerana sebagai generasi kedua Felda, saya rasa terpanggil untuk meneruskan apa yang diusahakan ayah hingga berjaya membesarkan kami sembilan beradik. Bagi saya, tidak semestinya setiap anak Felda perlu bekerja di bandar untuk beroleh kejayaan kerana di tanah rancangan ini juga menjanjikan banyak peluang kerja. Saya juga tidak pernah peduli dengan pandangan orang terhadap apa yang saya lakukan. Ini kerana apa yang lebih penting ialah untuk memajukan lagi usaha yang dilakukan ayah selama ini. Ayah bermula dari bawah hingga kami mampu mengecapi apa yang ada sekarang,” katanya.

Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Kota Kinabalu ini juga mengakui kegigihan bapanya menjadi inspirasi untuk beliau terus bertahan dan sentiasa terdorong untuk lebih bersemangat serta meningkatkan keyakinan untuk menjadi generasi kedua Felda yang berjaya.

“Ayah adalah idola dan pendorong utama kejayaan saya untuk terus kekal di Felda. Sikap rendah diri dan tidak mengenal erti putus asa yang ada dalam diri ayah menguatkan lagi azam saya untuk berjaya selain membuktikan bahawa kehidupan di Felda menjanjikan ketenangan dan hasil yang lumayan. Saya tidak pernah ralat dengan keputusan yang diambil kerana di sini peluang untuk membina kejayaan terbentang luas dan berharap generasi kedua Felda juga akan kembali ke Felda demi meneruskan usaha yang dilakukan generasi pertama. Apa yang lebih penting ialah bekerja dengan jujur dan mengetepikan pandangan serta tohmahan orang lain terhadap kita ,” katanya.

Perniagaan peternakan Lembu & Kambing ( Tuan Mad Jusoh Bidang peternakan )


 




Penternak Jaya Ruminan Negeri Kelantan 2008 EN. MAT JUSOH BIN ISRAIL usahawan ruminan dibawah bimbingan KTS Gua Musang.Mula mnceburi diri dalam penternakan ruminan pada tahun 1996 dengan memelihara lembu sebanyak 5 ekor induk dan 1 ekor pejantan di ladang sawit Felda Ciku 03.Hasil dari usaha beliau yang gigih dan komitmen yang tinggi pada tahun 2008 beliau mempunyai 210 ekor lembu terdiri dari 115 ekor induk.4 ekor pejantan dan selebihnya anak.Beliau juga menternak 50 ekor kambing dan 30 bebiri sebagai aktiviti sampingan dalam bidang penternakan. 

Beliau bukan sahaja menceburi bidang penternakan ruminan bahkan terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial.Beliau menjadi Pengerusi Persatuan Penternak Felda Ciku 03,Ketua Blok 3,ALK Koperasi Peneroka Felda Ciku 3,Ahli Jawatankuasa JKKR Felda Ciku 03.Di atas sumbangan besar beliau dalam aktiviti sosial dan bidang penternkan,pada tahun 2010 beliau telah dinobatkan sebagai Insan cemerlang peringkat jajahan Gua Musang.Anugerah itu di sampaikan oleh DYMM Raja Perempuan Kelantan.





  1. PROFIL PENGUSAHA  
Biodata pengusaha

Nama                               : MAT JUSOH BIN ISRAIL
No.k/p                             : 540803-03-5299
Jantina                              : Lelaki           
Bangsa                             : Melayu
Bilangan keluarga             : 10 orang
Pendidikan                       : Sekolah Rendah
Aktiviti Utama                  : Peneroka dan penternak sepenuh masa
Aktiviti sampingan            : Menternak kambing dan bebiri
                                        : Penyembelih dan penjual Daging
Alamat lading/projek        : Felda Chiku 08, Gua Musang, Kelantan.
Alamat Rumah                  : No. 258, Felda Chiku 03, 18300 Gua Musang,Kelantan
Telefon                             : 013 -9890291
Jawatan Lain                    : Ketua Blok 03,Felda Chiku 03
                                        : Pengerusi Persatuan Penternak Felda Chiku 03
                                         : AJK Jawankuasa Kemajuan Rancangan Felda Chiku 03



3. LATARBELAKANG PROJEK

Tarikh mula projek : 1996 ( 1ekor pejantan dan 5 ekor induk)
Modal permulaan    : RM 5,000.00( Modal sendiri)
Kawasan                 : Felda Chiku 03  seluas 200 hektar

3.2.    Kawasan Projek  Sekarang
Ladang kelapa sawit  Felda Chiku 08  seluas 1200 hektar
Umur kelapa sawit 15 tahun
3.3.   Kapasiti ladang       -           300 ekor Induk atau  populasi sebanyak 700 ekor.
3.4.   Populasi semasa      -           220 ekor(2010)

3.5     Status Induk tahun 2008.

Milik  sendiri                                       -  55 ekor        
Pawah dari penternak lain                   -  40 ekor
Projek Pintaf TRUST Jabatan             -  20 ekor
JUMLAH                               -  115 ekor     


3.6. Latihan yang pernah diikuti

Kursus dan seminar insitu anjuran jabatan
Konvensyen  Hari Peladang 2003 di
Konvensyen  Hari Peladang 2005 di Perak
Lawatan belajar ke projek di Pahang, N.Sembilan dan Johor
Lawatan ke MAHA 2005,2006.2007

3.7. Modal mengusahakan Projek  2004 -2008

                    i.Modal sendiri              -           RM  30,000.00
                  ii.Pinjaman (SIUF)         -           RM    7,000.00
JUMLAH       -           RM 37,000.00



5. PRESTASI  KEMAJUAN PROJEK

                       
5.1. Prestasi  stok ternakan 2004 -2008      

TAHUN/TERNAKAN
2004
2005
2006
2007
2008
INDUK
14
25
37
85
115
PEJANTAN
1
3
3
3
6
JANTAN MUDA
5
6
8
13
30
DARA
6
5
10
15
34
JANTAN>1TH
7
8
14
32
45
BETINA>1TH
6
10
16
36
42
JUMLAH
39
57
88
184
272

Sabtu, 2 April 2016

Selamat Datang ke Blogspot ke Wan Folder Berjaya Perniagaan Blogspot

Blogspot Wan Folder Berjaya Perniagaan ini dicipta sebagai simpanan bagi Menghimpunkan kisah-kisah & Jenis-jenis Perniagaan yang Berjaya di dalam Dunia perniagaan untuk dijadikan sebagai Sumber inspirasi untuk mencapai kejayaan di Masa hadapan...